Tahniah! Ikon Guru Perpustakaan dan Media sempena Majlis Apresiasi Pengurusan Sekolah Peringkat Negeri Sabah (MAPenS) Kali Ke-4

Pejabat Pendidikan Daerah Papar merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada Pn. Dayang Norlela binti Ali Omar atas pencapaian cemerlang sebagai Ikon Guru Perpustakaan dan Media sempena Majlis Apresiasi Pengurusan Sekolah Peringkat Negeri Sabah (MAPenS) Kali Ke-4.
Berlangsung di Bilik Sipadan, SICC Kota Kinabalu. Majlis ini disempurnakan oleh YAB, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor.
Pengiktirafan ini merupakan bukti komitmen, dedikasi, kreativiti dan kecemerlangan beliau dalam memperkasa budaya membaca, pengurusan pusat sumber sekolah serta pembudayaan ilmu dalam kalangan warga sekolah.
Kejayaan ini merupakan pencapaian tertinggi dan terakhir beliau sebagai GPM yang membawa nama SK Buang Sayang dan PPD Papar.
Kejayaan ini, bukan sahaja mengharumkan nama sekolah, malah turut menjadi inspirasi kepada seluruh warga pendidik dalam daerah Papar dan Negeri Sabah.
Semoga pengiktirafan yang diterima menjadi pemangkin untuk terus melakar kecemerlangan, menyumbang bakti kepada dunia pendidikan serta melahirkan generasi yang berilmu, berdaya saing dan berakhlak mulia.
Tahniah dan syabas!
“Guru Bitara, Nadi Negara”

MESYUARAT PERMUAFAKATAN PEJABAT PENDIDIKAN DAERAH PAPAR DAN IBU PEJABAT POLIS DAERAH PAPAR

Pada 5 Mei 2026 (Selasa), telah berlangsung Mesyuarat Permuafakatan antara Pejabat Pendidikan Daerah Papar dan Ibu Pejabat Polis Daerah Papar bertempat di Bilik Mesyuarat Teratai PPD Papar, dipengerusikan oleh Tn. Bakri bin Sudin, Pegawai Pendidikan Daerah, Pejabat Pendidikan Daerah Papar. Mesyuarat ini turut dihadiri oleh Supt Heryan Mohd Tahir, Ketua Polis Daerah Papar Dan pegawai kanan PDRM Papar serta pegawai-pegawai PPD dan Pengetua sekolah-sekolah menengah daerah Papar.
Mesyuarat ini menjadi platform penting dalam memperkukuh kerjasama strategik antara PDRM dan KPM khususnya dalam berkongsi maklumat berkaitan isu jenayah semasa seperti jenayah kekerasan, komersil, narkotik, kesalahan trafik serta pelanggaran disiplin melibatkan pelajar.
Selain itu, perbincangan turut memfokuskan kepada pelan tindakan bersama bagi menangani isu disiplin dan jenayah dalam kalangan pelajar. PDRM Papar juga telah memberikan taklimat berkenaan peranan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) serta menawarkan pelbagai bentuk kerjasama termasuk program pencegahan jenayah, ceramah kesedaran, khidmat nasihat keselamatan dan sokongan kawalan lalu lintas.
Mesyuarat turut menyentuh isu pelajar yang memandu atau menunggang tanpa kelayakan, di mana pihak sekolah disaran menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi tindakan pemantauan dan pencegahan.
Secara keseluruhannya, mesyuarat berjalan dengan lancar dan mencapai objektif yang ditetapkan.
Pihak PPD Papar merakamkan penghargaan atas komitmen dan kerjasama erat PDRM dalam memastikan keselamatan serta kesejahteraan warga sekolah sentiasa terpelihara.

SESI PENYERAHAN SURAT ARAHAN PENEMPATAN GURU BESAR LANTIKAN BAHARU, JABATAN PENDIDIKAN NEGERI SABAH

Seramai enam (6) orang Guru Besar lantikan baharu telah menerima surat arahan penempatan masing-masing sebagai tanda bermulanya amanah dan tanggungjawab dalam menerajui kepimpinan sekolah.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua penerima. Semoga kepercayaan yang diberikan ini dapat digalas dengan penuh dedikasi, integriti dan komitmen tinggi dalam memacu kecemerlangan institusi pendidikan serta membentuk generasi masa hadapan yang berkualiti.

Majlis Penyerahan Surat Kenaikan Pangkat Pegawai Perkhidmatan Pendidikan dan Anggota Kumpulan Pelaksana TBBK Fasa 1 Tahun 2025

Majlis Penyerahan Surat Kenaikan Pangkat Pegawai Perkhidmatan Pendidikan dan Anggota Kumpulan Pelaksana TBBK Fasa 1 Tahun 2025 telah berlangsung dengan jayanya pada 30 April 2026 bertempat di Bilik Mawar, Aras 3, Pejabat Pendidikan Daerah Papar.
Majlis ini telah disempurnakan oleh Encik Suzlan bin Suhaili, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Sektor Pengurusan Sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah Papar.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua penerima atas pengiktirafan dan kepercayaan yang diberikan. Semoga kenaikan pangkat ini menjadi pemangkin untuk terus memberikan perkhidmatan yang cemerlang, berintegriti dan berdedikasi dalam memartabatkan dunia pendidikan.

MAJLIS PENYERAHAN SURAT KENAIKAN PANGKAT PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN TBBK FASA 1 TAHUN 2025 (SSPA)

Majlis Penyerahan Surat Kenaikan Pangkat Pegawai Perkhidmatan Pendidikan bagi TBBK Fasa 1 Tahun 2025 (SSPA) telah berlangsung dengan jayanya pada 29 April 2026 (Rabu) bertempat di Bilik Mawar, Aras 3, Pejabat Pendidikan Daerah Papar.
Majlis ini telah disempurnakan oleh Encik Bakri bin Sudin, Pegawai Pendidikan Daerah Papar.
Majlis ini turut menyaksikan seramai 61 orang pegawai menerima surat kenaikan pangkat, melibatkan:
• 24 orang penerima Gred DG13
• 37 orang penerima Gred DG12
Diharapkan agar pengiktirafan ini akan terus menjadi pemangkin kepada semua penerima untuk meningkatkan mutu perkhidmatan, memperkukuh profesionalisme serta komitmen dalam melaksanakan tanggungjawab demi kecemerlangan sistem pendidikan negara.
Setinggi-tinggi penghargaan turut dirakamkan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis ini.
Sekalung tahniah diucapkan kepada semua penerima.