
admin
Majlis Penyerahan Surat Kenaikan Pangkat Pegawai Perkhidmatan Pendidikan dan Anggota Kumpulan Pelaksana Tahun 2026
Majlis Penyerahan Surat Kenaikan Pangkat Pegawai Perkhidmatan Pendidikan dan Anggota Kumpulan Pelaksana Tahun 2026 telah berlangsung dengan jayanya pada 4 Ogos 2026 bertempat di Bilik Mawar, Aras 3, Pejabat Pendidikan Daerah Papar.
Majlis ini telah disempurnakan oleh Encik Bakri bin Sudin, Pegawai Pendidikan Daerah, Pejabat Pendidikan Daerah Papar.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua penerima atas pengiktirafan dan kepercayaan yang diberikan. Semoga kenaikan pangkat ini menjadi pemangkin untuk terus memberikan perkhidmatan yang cemerlang, berintegriti dan berdedikasi dalam memartabatkan dunia pendidikan.

MAJLIS PECAH TANAH PROJEK NAIK TARAF JALAN LOK KAWI DARI BULATAN SABINDO KE SMK KINARUT, PAPAR
Pejabat Pendidikan Daerah Papar mengalu-alukan pelaksanaan Projek Naik Taraf Jalan Lok Kawi dari Bulatan Sabindo ke SMK Kinarut, Papar yang bernilai RM70.6 juta sebagai satu inisiatif strategik yang bakal membawa impak besar kepada sektor pendidikan di daerah ini.
Projek menaik taraf jalan kepada empat lorong, lengkap dengan pembinaan jejantas pejalan kaki, laluan berbumbung ke sekolah, hentian bas dan kemudahan keselamatan lain akan mewujudkan persekitaran perjalanan yang lebih selamat, selesa dan kondusif kepada murid, guru serta warga sekolah.
Selain mengurangkan kesesakan lalu lintas, projek ini dijangka:
Sesungguhnya, pembangunan infrastruktur yang baik merupakan pemangkin kepada kecemerlangan pendidikan. Apabila akses ke sekolah menjadi lebih selamat dan efisien, proses pembelajaran dapat berlangsung dengan lebih lancar demi melahirkan generasi yang berilmu, berdaya saing dan berdaya tahan.
Pejabat Pendidikan Daerah Papar merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sabah serta semua agensi yang terlibat dalam merealisasikan projek berimpak tinggi ini demi kesejahteraan rakyat dan masa depan pendidikan di daerah Papar.
“Infrastruktur Berkualiti, Pendidikan Berkualiti, Masa Depan Terjamin.”
Program TEKAD Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 JPN Sabah
Program TEKAD Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 telah berlangsung dengan jayanya di SMK Majakir, Papar pada 27 Jun 2026. Program ini dihadiri oleh Ybhg. Datuk Haji Mohd Arif bin Tun DSP (Dr) Haji Sakaran, Focal Person PIBKS Negeri Sabah, Encik Hisham Haji Rahmat, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Dasar Pendidikan, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar KPM, Ketua Nazir Negeri Sabah, Pengurusan Tertinggi Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Pegawai Pendidikan Daerah (PPD), pengetua, guru besar, pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta komuniti setempat bagi memperkukuh kefahaman terhadap hala tuju pendidikan negara.
Program TEKAD peringkat negeri Sabah dimulakan dengan pembentangan Overview RPM 2026–2035 oleh YBhg. Datuk Haji Raisin bin Saidin, Pengarah Pendidikan Negeri Sabah. Sesi diteruskan dengan pembentangan Teras Strategik 1 oleh Puan Indang Kasi binti Haji Sibin, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan PPD ( SPPD), Teras Strategik 2 oleh Encik Dithmond bin Juin, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Sektor Pembelajaran, Teras Strategik 3 dan 4 oleh Encik Awang Seman bin Ag Tahir, Pegawai Pendidikan Daerah Tuaran, Teras Strategik 5 dan 6 oleh Encik Charles bin Manji, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Pejabat Pendidikan Daerah Pitas serta Teras Strategik 7, Sasaran Wajib Capai dan Rumusan oleh Encik Henry Kenneth Lawrence, Ketua Penolong Pengarah Kanan, SPPD. Mereka merupakan jurucakap RPM 2026 – 2035 yang telah dilatih oleh pihak urus setia RPM 2026 – 2035 di peringkat KPM. Bagi memastikan para peserta fokus sepanjang sesi ini, maka aktiviti menjawab soalan kuiz turut diadakan. Program TEKAD di SMK Majakir, Papar Sabah berjalan lancar dan berlaku interaksi dua hala di antara jurucakap dengan para peserta. Program ini juga mendapat respon yang sangat positif daripada ibubapa di daerah Papar.
Taklimat Kempen Internet Selamat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) iaitu rakan strategik JPN Sabah juga dibuat untuk memberi pendedahan kepada ibubapa dan guru mengenai penggunaan internet selamat. Program TEKAD ditutup dengan persembahan tarian oleh murid-murid SK Buang Sayang, Papar Sabah.
Program TEKAD ini menjadi platform penting untuk menyelaras kefahaman, memperkukuh komitmen dan menyatukan tindakan semua pemegang taruh dalam merealisasikan aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035, sekali gus memastikan pelaksanaannya di Sabah dapat digerakkan secara bersepadu, sistematik dan berimpak tinggi demi melahirkan Insan Sejahtera selaras dengan hala tuju Kementerian Pendidikan Malaysia.
“Pendidikan Bermutu, Insan Terdidik, Negara Sejahtera”
Bersama menjayakan RPM 2026-2035

Takziah atas pemergian Allahyarham Tn Hj Abdul Aziz bin Mohamed Zain
Innalillahi wa inna ilaihi raji’un.
Allahummaghfirlahu warhamhu wa’afihi wa’fuanhu.
“Ya Allah, ampunilah dia, belas kasihanilah, hapuskanlah dan ampunilah dosa-dosanya.”
Seluruh warga kerja Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Papar merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Tn Hj Abdul Aziz bin Mohamed Zain di atas pemergian beliau ke negeri abadi pada 12 Jun 2026.
Allahyarham merupakan mantan Pengetua Cemerlang SMK Majakir yang telah banyak menyumbang bakti serta memberikan impak yang besar dalam dunia pendidikan, khususnya di daerah Papar.
Sama-samalah kita mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa, serta ditempatkan dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh.
Semoga ahli keluarga Allahyarham tabah menghadapi saat kehilangan ini.
