Salam Aidilfitri

 

Salam Aidifitri.

Ramadan kini tiba di penghujungnya. Semoga segala amal ibadah pada bulan yang mulia ini diterima dan disempurnakan oleh Allah SWT.

Syawal merupakan bulan kemenangan kepada umat Islam. Kemenangan melawan hawa nafsu dengan sifat sederhana dan sabar. Dengan amalan norma yang baharu, Aidilfitri kali ini disambut agak berbeza daripada sebelumnya. Semoga kita terus mengamalkannya walau di mana kita berada.

Pada kesempatan ini juga, dengan ingatan tulus ikhlas, warga Pejabat Pendidikan Daerah Papar memohon maaf zahir dan batin.

Selamat Hari Raya Aidilfitri 1441H/2020M

#jagajarak #penjarakansosial #disiplindiri #kekalselamat #jagakesihatan #jagakebersihan

 

Selamat Hari Guru

 

Setinggi-tinggi penghargaan buat warga pendidik yang terus bertugas sepanjang PKP ini, walaupun dari rumah.

Guru memainkan peranan dalam memperkasa keilmuan dan profesionalisme. Peranan yang penting bagi membina generasi baharu selaras dengan falsafah pendidikan negara.

Kini, cabaran dalam peranan ini perlu dipikul dalam suasana norma baharu, yang pastinya memerlukan adaptasi dan kerjasama dari semua pihak.

Jaga kesihatan dan amalkan norma baharu dalam kehidupan.

“??????? ???? ????, ???? ???????? ??????”

Selamat menyambut Hari Guru 2020 kepada semua warga pendidik, khususnya di daerah Papar.

Ucapan Israk dan Mikraj

 

“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
Surah Al-Israa’ ayat 1

Salam Israk dan Mikraj,

Peristiwa Agung ini adalah bukti keteguhan iman serta keyakinan umat Islam. Ianya juga memperingatkan kita agar menjauhi sifat-sifat buruk, keji dan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah SWT. Sebaliknya, laksanakan perintahNya dan lakukan kebajikan di dunia ini demi ganjaran yang abadi.

Semoga pedoman daripada peristiwa Israk dan Mikraj ini menjadikan kita lebih tawaduk dengan sifat terpuji dan terus istiqamah dalam kehidupan.

MAKLUMAN PENUTUPAN PPD DAN SEKOLAH EKORAN PENULARAN COVID-19

 

Assalamualaikum & Salam Sejahtera,
Salam Sabah Hebat, Salam Papar SMART
Semua Warga Daerah Papar yang dikasihi,

PENUTUPAN PEJABAT PENDIDIKAN DAERAH PAPAR, SEMUA SEKOLAH MENENGAH DAN RENDAH TERMASUK PRA SEKOLAH & KELAS PENDIDIKAN KHAS PEMBELAJARAN EKORAN PENULARAN WABAK COVID19

Dengan penuh tanggungjawab, merujuk kepada Perintah Kawalan Pergerakan melalui Perutusan Khas YAB Perdana Menteri bertarikh 16 Mac 2020, jam 10.00 malam ekoran penularan wabak COVID19.

Pejabat Pendidikan Daerah Papar menyahut seruan Perdana Menteri dan mengambil keputusan untuk penutupan sementara Pejabat Pendidikan Daerah Papar, termasuk semua sekolah menengah dan rendah serta prasekolah dan kelas pendidikan khas mulai 18 hingga 31 Mac 2020. Pejabat Pendidikan Daerah Papar dan semua sekolah di daerah Papar akan beroperasi semula pada 01 April 2020.
Pihak PPD akan sentiasa memantau dan mengikuti perkembangan situasi ini dan akan memaklumkan kepada tuan/puan (ibu bapa murid). Walau bagaimanapun, tuan/puan janganlah berasa cemas kerana kerajaan sentiasa mengambil langkah-langkah dan tindakan bagi mengawal dan mengatasi permasalahan ini.

Sama-samalah kita menyokong usaha kerajaan bagi membendung penularan wabak ini.
Selamat berehat bersama keluarga tersayang, jaga kesihatan dan sama-sama lah kita berdoa semoga negara kita akan pulih sepenuhnya daripada COVID-19 ini.

Sekian, terima kasih.

Suhaimi Hj Matshah
Pegawai Pendidikan Daerah Papar
16/3/2020