Papar Maker Fair Peringkat Negeri Sabah anjuran PPD Papar dan Chumbaka Tahun 2024

Papar Maker Fair Peringkat Negeri Sabah anjuran PPD Papar dan Chumbaka Tahun 2024 telah diadakan dengan jayanya pada 24 September 2024 di Dewan SMK Majakir Papar.
Terdapat dua kategori iaitu Junior Innovate dan Young Innovators Challenge telah dipertandingan. Seramai 322 murid telah menyertai pertandingan ini di mana 118 orang murid sekolah menengah menyertai Young Innovators Challenge dan 204 orang murid sekolah rendah menyertai Junior Innovate.
Aktiviti ini bukan sahaja menambah pengetahuan dan kemahiran baharu dalam bidang pengaturcaraan tetapi juga memupuk dan menarik minat murid secara tidak langsung dalam bidang digital. Murid perlu menyediakan digital game atau prototaip dengan menggunakan sebuah platform ‘open-source’ seperti Arduino dan Pictoblox/ Mblock/ Scratch.
Terima kasih Unit TVET PPD Papar dan Chumbaka di atas penganjuran dan terutama sekali Hap Seng di atas penajaan. Tahniah dan Syabas kepada semua AJK Pelaksana, guru-guru pembimbing, para pemenang dan para peserta kerana menjayakan Papar Maker Fair ini.

MAJLIS SANTUNAN BUDI, TAUTAN KASIH – PUAN DG NORLINAH BINTI JUNIT

27 September 2024 l 2.30 petang
MAJLIS SANTUNAN BUDI, TAUTAN KASIH – PUAN DG NORLINAH BINTI JUNIT
Pejabat Pendidikan Daerah Papar telah mengadakan majlis perpisahan untuk menghormati dan memberi penghargaan kepada pegawai SISC+, Puan Dg Norlinah binti Junit, yang akan berpindah bagi melanjutkan pelajaran.
Pihak PPD Papar mengucapkan ribuan terima kasih atas sumbangan dan jasa bakti yang telah diberikan. Kami mendoakan agar perjalanan ini membawa kejayaan dan pengalaman yang bermakna. Terima kasih, Pn Dg Norlinah binti Junit.
Selamat maju jaya dalam pengajian anda!

Sesi Perjumpaan Ketua Penolong Pengarah, Sektor Pengurusan Maklumat, JPN Sabah bersama Juruteknik Komputer PPD Papar

5 September 2024 l Khamis
Telah berlangsung Sesi Perjumpaan Ketua Penolong Pengarah, Sektor Pengurusan Maklumat, JPN Sabah bersama Pegawai Pendidikan Daerah, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Pegawai Eksekutif, JTK PPD dan, JTK Pasukan Teknikal ICT Sekolah 1, JPN Sabah. Sesi Perjumpaan telah diadakan di Bilik Mesyuarat Terati, PPD Papar.
Sesi perjumpaan ini memfokuskan Perlaksanaan Pemusatan Juruteknik Komputer dan membincangkan isu-isu berkaitan pengurusan ICT Sekolah di Daerah Papar.

Intervensi Kurikulum KPM

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) prihatin terhadap kegusaran yang dibangkitkan ibu bapa dan masyarakat mengenai isu kurikulum berat serta kurang sesuai dengan tahap dan usia murid.
Justeru, pada 18 Mac 2024, Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek telah mengadakan satu sidang media khas dan mengumumkan inisiatif Intervensi Kurikulum.
Intervensi Kurikulum merangkumi penyusunan semula kurikulum, pengesanan awal literasi dan numerasi bagi murid Tahun 1, tambah baik pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang mesra ibu bapa dan latihan kepada guru.
Susunan semula kurikulum melibatkan mata pelajaran Matematik, Sains, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris Tahap 1.
Bermula 19 Mac 2024, guru-guru diberi latihan pelaksanaan penjajaran kurikulum menerusi penganjuran webinar bersiri.
Secara keseluruhan, Intervensi Kurikulum yang dilaksanakan menyasarkan kepada lebih 1.3 juta murid Tahun 1, 2 dan 3 di seluruh negara.

Majlis Sanjungan Budi, Lambaian Kasih sempena persaraan Pn. Rugayah binti Abdullah

Jumaat l 23 Ogos 2024 l 2 petang
Telah berlangsung Majlis Sanjungan Budi, Lambaian Kasih sempena persaraan Pn. Rugayah binti Abdullah yang telah bersara wajib. Seluruh warga PPD Papar mengucapkan ribuan terima kasih atas segala jasa bakti yang telah dicurahkan selama berkhidmat di PPD Papar. Semoga Pn. Rugayah dilimpahi rahmat, diterima segala amalan dan diberikan kesihatan yang berterusan.
Selamat bersara Pn. Rugayah.

Kursus Protokol Pengurusan Majlis Rasmi Peringkat Pejabat Pendidikan Daerah Papar

9 Ogos 2024 | Jumaat | 9.00 pagi
Telah berlangsung Kursus Protokol Pengurusan Majlis Rasmi Peringkat Pejabat Pendidikan Daerah Papar yang bertempat di Bilik Mawar, PPD Papar. Kursus ini telah disampaikan oleh Encik Madzani @ Saidie bin Nusa yang merupakan Pensyarah Kanan, Jabatan Pembangunan ePembelajaran, IAB Cawangan Sabah. Peserta adalah terdiri daripada kakitangan Pejabat Pendidikan Daerah Papar dan hadir bersama, Encik Bakri bin Sudin,Pegawai Pendidikan Daerah Papar serta para Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah.